Monday, 14 July 2014

PT3 apa sebenarnya?


MUNGKIN ada yang bertanya mengapa Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan. Persoalan dilontar setelah mengambil kira tempoh pelaksanaan sistem peperiksaan berpusat itu selama dua dekad bermula 1993. Persoalan itu diperjelaskan Ketua Sektor, Sektor Pengendalian Peperiksaan Menengah Rendah dan Rendah, Kementerian Pendidikan, Johara Abdul Wahab kepada wartawan Mingguan Malaysia, RAJMAH HASAN dan jurugambar SHIDDIEQIIN ZON dalam satu wawancara di ibu negara baru-baru ini.
UTUSAN: Boleh puan terangkan apakah itu Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3)?
PT3 adalah satu daripada komponen di bawah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di mana murid ditaksir untuk menilai pencapaian akademik mereka di pe­ringkat menengah rendah iaitu di Tingkatan 3.
Soalan PT3 disediakan berasaskan sukatan pelajaran Tingkatan 1, 2 dan 3.
Bilakah pelaksanaan PT3 ini bermula?
Pelaksanaan PT3 dijalankan secara berperingkat seperti Jadual 2 berikut:
Apa kelebihan PT3 berbanding PMR sehingga sistem peperiksaan berpusat yang telah dilaksanakan 20 tahun lalu dimansuhkan?
JOHARA: PT3 yang dilaksanakan adalah satu komponen pentaksiran berasaskan sekolah, manakala PMR adalah peperiksaan berpusat yang dijalankan serentak di semua sekolah di seluruh negara.
PMR dikendalikan sepenuhnya oleh Lembaga Peperiksaan dari segi penyediaan kertas soalan, pentadbiran peperiksaan, pemeriksaan skrip jawapan dan pengeluaran keputusan.
Bagi PT3 Lembaga Peperiksaan menyediakan instrumen pentaksiran (soalan), pan­duan penskoran dan menetapkan tempoh pelaksanaan tetapi pentadbiran, pemeriksaan skrip jawapan dan pengeluaran keputusan dilakukan oleh pentadbiran sekolah.
Bukankah sistem peperiksaan berpusat selama ini telah berjaya melahirkan ramai pelajar cemerlang?
JOHARA: Memang benar sistem peperik­saan terbukti melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi intelek atau pencapaian akademik.
Tetapi hasrat sistem pentaksiran kini adalah lebih dari hanya memberi penekanan dan melaporkan pencapaian akademik murid .
Tujuan pentaksiran adalah lebih meluas lagi, kita harus mewujudkan pentaksiran yang dapat merubah teknik pengajaran dan pembelajaran di sekolah bagi melahirkan modal insan yang berketerampilan dan lebih yakin dengan potensi diri.
Perubahan ini perlu bagi menjayakan program transformasi pendidikan dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Sejak PT3 diperkenalkan, antara kerisauan ibu bapa adalah anak mereka tidak lagi berpeluang memasuki tingkatan empat di sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah sukan, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kerana tiada lagi Pernyataan Keputusan seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR). Berasaskah kebimbangan ini?
JOHARA: Ia tidak benar. Biarpun tanpa Pernyataan Keputusan PMR, murid masih boleh menggunakan pelaporan PT3 untuk memasuki mana-mana sekolah termasuk SBP, sekolah menengah kebangsaan agama atau MRSM.
Malah melalui PBS, pelaporan peringkat menengah rendah memberi gambaran tentang kebolehan dan perkembangan potensi murid yang lebih menyeluruh kerana me­rangkumi empat pelaporan iaitu Pelaporan Perkembangan Pembelajaran Murid, Pelaporan PT3, Pelaporan PAJSK dan Pelaporan Pentaksiran Psikometrik.
Pelaporan ini juga dapat membantu murid membuat keputusan yang lebih tepat dalam pemilihan aliran pendidikan di peringkat menengah atas sama ada mahu memilih Aliran Sains, Sastera, Teknikal, Perakaunan dan sebagainya.
Melalui Ujian Psikometrik, akan dapat mengenal pasti kebolehan semula jadi dan kebolehan yang diperoleh murid daripada pengalaman dan persekitaran.
Maklumat tentang kecenderungan kerjaya murid pula boleh diperolehi melalui Inventori Minat Kerjaya dan maklumat tentang kecerdasan serta minat atau kecen­derungan murid diperolehi melalui Ujian Aptitud Khusus.
Sejauh mana relevan PT3 dengan pembangunan pendidikan ketika ini?
JOHARA: Biarpun PT3 tidak berasaskan peperiksaan berpusat, namun pelaporan PT3 akan digunakan sebagai salah satu pelaporan untuk menentukan kemasukan pelajar Tingkatan 4 sama ada di SBP, sekolah menengah kebangsaan agama, MRSM termasuk sekolah menengah teknik dan kolej vokasional.
Kemasukan ke sekolah-sekolah tersebut juga akan menggunakan pelaporan PAJSK dan Ujian Psikometrik bagi memastikan pemilihan dan penempatan pelajar bersesuaian dengan kemampuan, minat dan potensi diri.
Jelaskan operasi PT3 yang berasaskan sekolah?
JOHARA: Melalui PT3, pihak sekolah akan menyediakan jadual pentadbiran, menguruskan pentadbiran pentaksiran, memeriksa skrip jawapan murid berpandukan panduan penskoran yang disediakan Lembaga Peperiksaan dan mencetak pelaporan PT3.
Jika PT3 berasaskan sekolah, apa pula fungsi Lembaga Peperiksaan (LP) dalam perkara membabitkan operasinya?
JOHARA: Dari segi pengoperasian, LP menyediakan jadual kerja, peraturan pentadbiran serta panduan penjaminan kualiti. LP serta personel pentaksiran yang dilantik akan menjalankan penjaminan kualiti bagi memastikan pentadbiran PT3 dan pemeriksaan skrip jawapan dilaksanakan mengikut peraturan pentadbiran, garis panduan dan panduan penskoran yang disediakan oleh LP. Pelaksanaan penjaminan kualiti adalah pen­ting bagi memastikan kesahan dan kebolehpercayaan gred yang diterima murid.
Bagaimana Pelaporan Pentaksiran Psikometrik berfungsi membantu pelajar membuat pilihan aliran di tingkatan empat?
JOHARA: Laporan ujian psikometrik boleh digunakan dalam penempatan murid ke aliran yang sesuai dengan minat, bakat, potensi diri dan perancangan masa hadapan mereka.
Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) pula melaporkan aktiviti jasmani, sukan, kokurikulum dan ekstra kurikulum seseorang murid. Laporan ini dapat memberi input tentang penyertaan, penglibatan dan pencapaian murid dalam sukan, permainan, kelab, persatuan, badan beruniform.
Tahap fizikal murid juga dilaporkan me­lalui Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK) dan Body Mass Index (BMI).
Laporan terperinci ini dapat memberi maklumat awal tentang bakat dan kebolehan pelajar dari aspek kepemimpinan, ke­­upayaan fizikal dan keunggulan sahsiah.
Memandangkan penilaian PT3 dibuat oleh sekolah masing-masing dan tidak lagi oleh Lembaga Peperiksaan, timbul kesangsian terhadap integriti guru yang membuat taksiran. Apa komen puan?
JOHARA: Bagi memastikan pengurusan PT3 ditadbir dengan berkesan, LP akan sentiasa memantau dan menilai pelaksana­annya.
LP telah menyediakan Panduan Penjaminan Kualiti bagi memastikan pentadbiran PT3 dan pemeriksaan skrip jawapan mematuhi garis panduan yang telah disediakan.
Lagipun kita akan pentaksir kawasan yang akan membuat semakan ke atas skor atau pemarkahan yang dibuat oleh guru-guru pentaksir sekolah.
Jadi tidak timbul soal guru pentaksir terlalu tegas atau terlalu lenient sebab mereka membuat taksiran mengikut garis panduan.
Oleh itu semua pihak tidak perlu bimbang atau sangsi dari segi kesahihan dan kebolehpercayaan pentaksiran itu kerana akan sentiasa dipantau dari semasa ke semasa.
Adakah pelaksanaan PT3 akan dapat mengurangkan kritikan sesetengah pihak yang mengatakan sistem pendidikan negara terlalu berorientasikan peperiksaan?
JOHARA: Sudah tentu. Hal ini kerana dengan PT3, penekanan tidak lagi terhadap keputusan peperiksaan cemerlang semata-mata sebaliknya penglibatan pelajar menjawab soalan di dalam kelas, me­­nyiapkan kerja rumah selain penglibatan mereka dalam aktiviti kokurikulum.
Matlamat pendidikan seharusnya se­perti yang termaktub dalam Falsafah Pendi­di­kan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan modal insan yang berketerampilan dan pa­da masa sama, dapat mengembangkan bakat dan potensi diri.
Penambahbaikan sistem pentaksiran ini dapat menyediakan warga negara yang akan berbakti dan memberi sumbangan bererti kepada agama, bangsa dan pembangunan negara


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20140629/pe_01/PT3-bukan-sekadar-peperiksaan#ixzz37SYRap9I
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment