Emosi kita, sama ada
gembira atau sedih, kita yang tentukan. Pilihan di tangan kita. Secara tidak
langsung, riak wajah kita juga tampak lebih manis dan tenang.Malah, ada orang
menyifatkan kegembiraan itu macam rama-rama cantik, mampu menyenangkan hati
sesiapa yang memandang.Walaupun ada kajian menunjukkan kebolehan untuk gembira
banyak disumbangkan oleh faktor genetik, ramai penyelidik percaya perasaan
positif, khususnya gembira, boleh dipupuk dan dirangsang dengan mengawal serta
membendung perasaan negatif seperti pesimis, geram dan marah.Apabila perasaan
negatif dapat dikawal, baru perasaan positif seperti empati (kebolehan
meletakkan diri dalam kedudukan atau keadaan orang lain), ketenangan dan
kesyukuran boleh dipupuk dan dirangsang.
Perkara paling asas
untuk mendapat kegembiraan ini ialah, kita mesti selesa dengan diri sendiri dan
menerima kelebihan serta kekurangan diri dengan hati terbuka. Usah jadikan rupa
paras atau warna kulit sebagai perbandingan yang menyebabkan kita rendah diri
kerana ia anugerah terbaik dan unik Allah kepada setiap insan.Keselesaan ini
membuat kita yakin dan tenang; yang menjadi tonggak kepada kesejahteraan
fikiran.
Ada kajian menunjukkan
individu yang gembira hidup sembilan tahun lebih lama berbanding golongan yang
kerap tertekan dan murung. Untuk mendapat hidup bahagia dan gembira, kita kena
berusaha mencarinya kerana kegembiraan tidak datang bergolek depan mata.
ANTARA STRATEGI YANG BOLEH DILAKUKAN UNTUK
GEMBIRA IALAH:
l. Pilih untuk
gembira — Pilihan ini ada di tangan setiap orang dan jadikan ia
sebagai sasaran setiap hari. Bagaimanapun, perasaan gembira bukan datang begitu
saja kerana sumbernya perlu dicari dan dipelajari.Antaranya ialah belajar
kemahiran mengurus diri, kebolehan berinteraksi dengan baik dan perkara yang
boleh meningkatkan prestasi kerja.
Pilih untuk ada di
persekitaran atau berkawan dengan orang yang bersikap positif serta mampu
membuat anda gembira. Menurut pensyarah psikologi Universiti Virginia, Profesor
Jon Haidt, untuk tenang, seseorang boleh memilih sama ada mahu menjadi pemaaf
atau seorang yang selalu bersyukur dan berterima kasih.
2. Pupuk
perasaan syukur — Kesyukuran ini perlu hadir dalam hati dan bukan
hanya pada kata-kata. Lumrah manusia sering membandingkan diri sendiri dengan
orang yang ada pelbagai kelebihan daripada pelbagai sudut.
Memang tidak salah
jika ia dijadikan penguat semangat untuk berusaha, tetapi jika ia menjadi punca
kesedihan, langkah terbaik ialah menyenaraikan kelebihan dimiliki seperti kasih
sayang keluarga, suami, anak, makanan, tempat tinggal mahupun persekitaran.
3. Amalkan
sifat pemaaf — Penyelidik berpendapat berfikiran negatif, memendam
kemarahan dan sentiasa memikirkan keburukan orang lain memberi kesan buruk
terhadap kesihatan mental. Satu-satunya cara untuk mengikis kesan buruk ini
ialah memaafkan kesilapan orang lain pada kita. Ini mengurangkan ingatan kita
terhadap insiden pahit yang boleh merangsang perasaan marah.
Sebaliknya, kaji
pendapat orang lain yang mungkin ada benarnya; walaupun kebenaran itu pahit
untuk ditelan. Kenang semula perasaan anda apabila mendapat kemaafan daripada
orang lain dan kebaikan yang lahir daripadanya. Apabila sudah memaafkan,
berusaha melupakan kenangan kurang manis dan elak mengungkitnya semula.
4. Lawan
pemikiran negatif — Pemikiran negatif umpama sampah dalam otak. Kita
perlu belajar mengenal pasti pemikiran negatif supaya ia boleh dikawal dan
dibuang. Contohnya, apabila nampak seseorang yang dikenali, anda mungkin
terfikir perkara negatif mengenainya, tetapi ini adalah pemikiran yang boleh
merosakkan persahabatan.
Yang perlu dilakukan
ialah menepis pemikiran negatif tadi dan cari sifat positif yang dimiliki rakan
berkenaan. Tidak kira berapa benci atau meluat pun kita pada seseorang,
pastinya dia sebagai manusia ciptaan Tuhan (yang sama seperti kita) mempunyai
kebaikan dan kelebihan tersendiri.
5. Tambah
sahabat — Antara penawar kesedihan ialah mempunyai sahabat baik yang
sentiasa mengambil berat mengenai anda. Kajian di Australia mendapati, warga
emas berusia 70 tahun ke atas yang ada ramai sahabat hidup lebih lama dan
gembira.
Sesetengah pakar
psikologi percaya senario kehidupan sekarang yang bersifat individualistik
antara punca peningkatan kes kemurungan dan tekanan yang berlaku di seluruh
dunia. Ketiadaan kawan untuk meluahkan masalah menyebabkan ramai buntu fikiran
hingga sanggup melakukan pelbagai tindakan nekad, termasuk membunuh diri.
6. Kegembiraan
ada di keliling kita dan biasanya ia datang dalam bentuk kecil —
Contoh paling mudah ialah menghadiahkan senyuman kepada orang lain, termasuk
yang tidak dikenali, tanpa mengharapkan balasan. Pergerakan yang menggunakan
beberapa otot di muka ini ada ‘khasiat’ kerana ia secara automatik membuat anda
senang hati.
7. Sentiasa
berbuat baik — Tidak kira sekecil mana pun bantuan yang diberi, ia
boleh membuatkan si penerima dan pemberi bantuan gembira. Jika tekanan boleh merangsang
penyakit, penyelidik percaya kegembiraan memiliki ‘kuasa’ yang boleh melindungi
kita daripada masalah kesihatan. Orang yang gembira berasa lebih yakin dengan
keupayaan diri dan ia diakui menjadi ‘vitamin’ kepada sistem imun badan yang
boleh mempercepatkan kadar penyembuhan.Ini sebabnya di kebanyakan hospital,
terutama di luar negara, ada kumpulan sokongan bagi pelbagai masalah kesihatan.
Kumpulan sokongan ini
membabitkan pesakit, bekas pesakit, ahli keluarga, rakan dan kakitangan
perubatan yang berfungsi memberi semangat kepada pesakit melawan penyakit
dihidapi.Ia penting supaya pesakit kuat semangat dan percaya mereka boleh
sembuh. Semangat dan kepercayaan ini sebenarnya ada pengaruh besar kepada
pesakit kerana ia membuatkan badan memberi tindak balas lebih baik terhadap
ubat.
8. Sertai
pelbagai aktiviti kemasyarakatan — Pilih aktiviti yang sesuai dengan
minat anda, tetapi lebih baik jika ia turut memberi manfaat kepada orang lain
dan persekitaran. Contohnya menyertai badan kebajikan, menjadi sukarelawan sama
ada untuk membantu mangsa bencana mahupun memulihara alam sekitar. Melalui cara
ini kita bukan saja menambah kenalan, tetapi turut belajar banyak perkara baru.
Tanpa anda sedari,
proses belajar perkara baru dan bagaimana berdepan halangan boleh membantu
minda menjadi lebih cerdas.Malah, banyak kajian menunjukkan aktiviti yang
mencabar minda ini boleh melindungi kita daripada pelbagai penyakit kemerosotan
ingatan seperti dementia dan Alzheimer.
9. Wang bukan
segala-galanya — Memang betul wang boleh merangsang kegembiraan,
tetapi bukan semua kegembiraan boleh dibeli dengan wang. Walaupun kajian
menunjukkan penduduk di negara kaya lebih gembira berbanding penduduk negara
miskin, tetapi apabila sudah memiliki rumah, makanan, pakaian dan segala
keperluan lain, mempunyai banyak wang tidak membuatkan seseorang jadi lebih
gembira, kata penyelidik Universiti Princeton, Profesor Daniel Kahneman.
10.Jangan lokek
dengan pujian — Masyarakat kita memang lokek memberi pujian, terutama
pada anak dan ahli keluarga, sedangkan ia boleh merangsang banyak perkara baik,
kata Pakar Psikiatri Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Dr Nor Hamidah Mohd
Salleh.Pujian ke atas perkara kecil, terutama keupayaan orang lain — contohnya
apabila anak mengemas alat permainannya — bukan saja boleh memberi kesan
positif kepada individu yang dipuji, tetapi turut membuatkan anda berasa senang
hati.
Bagaimanapun, pujian
biar ikhlas dan kena pada tempatnya. Pekerja berasa lebih gembira dan
bersemangat apabila mendapat pujian daripada ketua atau majikan. Pujian
seringkas ‘bagus atau baik’ sudah memadai. Ia tanda penghargaan yang boleh
merangsang semangat pekerja untuk berusaha lebih baik dan bersungguh-sungguh.
11. Belajar
terima setiap dugaan dengan hati terbuka — Ia membolehkan kita
berfikir dengan tenang dan dapat membuat keputusan lebih baik. Ketenangan ini
bagaimanapun perlu dipelajari dan diamal. Memang ia tidak mudah, tetapi tiada yang
mustahil sebelum dicuba.l Dekatkan diri dengan agama. Tidak kira apa juga
fahaman yang anda anuti, kepercayaan terhadap Tuhan memang diakui meningkatkan
keyakinan dan ketenangan fikiran seseorang.
Ketua Jabatan
Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Dr Muhamad Husaain
Habil, pernah berkata antara ubat paling mujarab untuk menghilangkan tekanan
fikiran ialah sembahyang dan mendekatkan diri dengan Tuhan. Jadi apabila setiap
kali berasa susah hati atau sedih, ingat bahawa kita ada Allah yang sentiasa
mendengar keluhan dan rintihan hamba-Nya.
12. Bersenam —
Senaman bukan saja baik untuk badan, tetapi menjadi ubat anti kemurungan yang
sangat berkesan bagi jangka pendek dan panjang. Apabila bersenam, kita lebih
segar dan tenang. Kajian membuktikan senaman mampu mengurangkan kemurungan pada
semua peringkat umur dan kesannya lebih baik jika individu bermasalah turut
mendapatkan rawatan perubatan.
Bahkan, ada penyelidik
mendapati senaman boleh menjadi sebahagian ‘rawatan’ penting untuk pelbagai
jenis masalah seperti keresahan, rasa rendah diri, isu berat badan dan
ketagihan. Ia juga mampu meningkatkan fungsi mental dan fizikal; selain membuka
peluang berinteraksi dan bersosial dengan orang lain yang turut bersenam
bersama.
No comments:
Post a Comment